Saturday, September 6, 2008

Trip ke Medan, Parapat dan Berastagi

16/8/2008, Sabtu

Bertolak dari Pendang selepas sembahyang zohor.  Sebelum ini telah mendapat sms dari Airasia memberitahu waktu penerbangan bertolak telah ditunda dari 1805 ke 2015.  Kami terus ke Penang dan menaiki feri ke Padang Kota mengisi perut.

Penang  Padang Kota

Kereta di parking di Padang Kota. Dalam kesibukan menukar lampin Balqis, Mam terlupa menaikkan cermin belakang cermin kereta dan ini disedari ketika kami lepas makan di Padang Kota.  Nasib baik lah tiada kejadian kecurian berlaku.  Balqis seperti biasa lincah sekali.  Semua kami sentiasa berjaga-jaga bimbang dia berlari-lari ke jalan raya.  Selepas makan lebih kurang jam 1600 kami terus ke Penang International Airport.  Kereta di parking untuk tempoh 5 hari berikutnya sehingga kami balik kelak.  Walaupun waktu berlepas jam 2015 tetapi flight masih tidak kelihatan.  Sembahyang asar kami tunaikan di surau airport. 

Kami bertolak jam 2045 dari Penang.  Di dalam flight Balqis aku asyik kan dengan melayani dia dengan membaca phamplet supaya dia leka dan tidak rimas dengan talipinggang kaledar yang membatasi pergerakannya.  Sampai di Polonia Airport jam 2030 waktu Indonesia.  Beza antara waktu di Medan dan Malaysia ialah awal 1 jam.  Sebaik sahaja sampai Pak Adi iaitu Tourist Guide kami dari Mutiara Holidays telah menunggu dan bas sebesar bas mini yang telah sedia menunggu.  Pak Adi memperkenalkan  kami dengan Perdana (pemandu) dan Ramadan (pembantu).  Terus dibawa untuk dinner di Restoran Simpang Tiga, Medan ini.  Dalam perjalanan aku terkejut kerana terdapat stesyen Petronas terdapat berhampiran dengan airport ini.  Menurut Pak Adi terdapat 3 buah stesyen Petronas di Medan ini.  Di sana telah sedia ada satu group dari KL diketuai oleh Pak Hasnal yang telah sampai lebih awal.  Kelihatannya mereka telah siap menikmati dinner dan hanya menunggu kami sahaja.  Makanan yang sedap ialah masak lemak pucuk ubi yang dihancurkan dan ayam muda goreng berempah.

Group Pak Hasnal dihantar ke Hotel Semarak manakala kami di Hotel Antares.  Hotel ini mempunyai club malam dimana ada persembahan nyanyian.  Aku sempat mengakses internet di sini.  Aku, Farhan dan Afifah tidor sebilik iaitu bilik 404 manakala Mam, Amirah dan Balqis di bilik 412.  Mam tidak lena tidor kerana banyak nyamuk mengganggu Balqis malam itu.

17/8/2008, Ahad

Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke 63.  Jam 0800 pagi setelah sarapan kami bertolak ke Parapat.  Bersarapan dengan roti 'Briosh' sangat menyelerakanku.  Balqis suka sekali makan keju sahaja dan nampaknya gemar sekali.  Diberitahu bahawa perjalanan kami akan memakan masa 5 jam dengan kelajuan sekitar 70 km/jam.  Basnya nampak elok tetapi suspensinya keras sekali.  Air-con pula rosak, yang keluar dari alat hawa dingin ini ialah udara panas.  Nasib baik ada lubang di bumbung untuk udara luar masuk bila dibuka. Sepanjang perjalanan didapati sawah padi dan semakin jauh di kiri dan kanan kelihatan ladang getah. 

Singgah di Permatang Siantar dimana terdapat tempat menjual kacang tumbuk yang berbagai jenis.   Setelah diberikan merasa berbagai jenis, kami membeli satu kotak yang ada pelbagai jenis berharga sekitar RM 50 duit Malaysia.  Untuk rekod RM 1.00 bersamaan dengan Rupiah 2600 ke Rupiah 2800.

Permatang Siantar Paten2  Paten1  Permatang Siantar (2)

Di sepanjang perjalanan kelihatan sambutan dan perbarisan di sekolah-sekolah dan pejabat kerajaan.  Sementara itu Pak Adi memberikan penerangan tentang tempat-tempat yang dilalui, dan panduan jika hendak membeli-belah apabila berada di Parapat kelak. Bbudaya masyarakat batak berniaga iaitu jangan dibelek-belek barangan kecuali betul-betul hendak dibeli serta jangan berjanji sebab mereka akan menagihnya sehingga menarik tangan kita.  Mereka ini kasar caranya berniaga sehingga merimaskan dan menakutkanjika tidak biasa.

Sepanjang perjalanan Pak Adi menyelang selikan penerangannya dengan teka-teki serta cerita lawak seperti kisah jurutera dari Jepun yang suka memandang rendah dengan membandingkan berapa lama orang Indonesia membina bangunan dan jambatan berbanding dengan orang Jepun, nama buah-buahan yang bermula dengan huruf N.   Ada banyak perkataan-perkataan yang aku tidak tahu maknanya telah ku tanyakan dengan Pak Adi seperti ponsel yang bermakna kedai menjual alat-alat telekomunikasi serta top-up, kost bermakna bilik sewa, solar bermakna diesel dan banyak lagi.   Diterangkan juga tentang peringkat-peringkat persekolahan iaitu SMA dan SMP serta warna pakaian mereka menurut tahap persekolahan. 

Kalau di Medan kebanyakannya muslim tetapi semakin hampir ke Parapat semakin banyak penganut kristian iaitu kaum batak.  Diterangkan juga mengapa terdapat banyak kuburan di atas tanah batak.  Ini untuk mengelakkan daripada keturunan batak menjual tanah kerana dengan adanya kuburan orang tidak mahu membeli tanah tersebut.

Perjalanan kami semakin mendaki dan udara pun semakin sejuk dan nyaman.  Banyak terdapat pokok pain yang getahnya diambil sebagai campuran didalam pembuatan cat.  Ucapan selamat oleh orang batak di Parapat ini ialah 'Horas'.  Dalam perjalanan kami dapat melihat kebun-kebun sayur yang merupakan aktiviti masyarakat setempat.  Jam 1300 sampai di Parapat dan terus dibawa ke Restoran Minang Istana.  Orang telah ramai di sini.  Makanannya terdiri dari ikan sungai iaitu mungkin ikan dari Danau Toba ini dan beberapa lauk yang lain.  Selepas sembahyang di masjid Raya Taqwa Parapat kami dibawa ke jeti untuk ke Pulau Samosir.  Bot yang disewa khas telah menunggu untuk ke Ambarita.  Perjalanan memakan masa selama 45 minit.  Kedalaman Danau Toba ini sekitar 300 m dan tempat yang paling dalam sekali ialah 500 m iaitu berdekatan dengan Simarjarunjung yang akan kami pergi keesokannya.  Ketika kami sampai di jeti, bila di lihat ke arah Pulau Samosir keadaan adalah berkabus. 

Pulau Samosir diberitahu melebihi keluasan Republik Singapura.  Kegiatan penduduknya selain dari pelancongan di tempat-tempat tertentu di kawasan lain yang luas itu ialah pertanian.  Di beritahukan juga bahawa wanita batak sinonim dengan 'sayang' kepada suami mereka.  Ini kerana lelaki batak boleh dijumpai di kedai-kedai kopi bersembang sambil bermain catur dan lain-lainnya manakala isteri mereka bekerja.  Walaubagaimanapun bukan semua begitu.  Ketinggian Danau Toba ialah lebih kurang 1400 m dari paras laut menjadikan ianya salah satu tasik yang tertinggi di dunia.  Jika mengelilingi Pulau Samosir dengan kelajuan bot yang kami naiki ini memakan masa lebih kurang 12 jam kata Pak Adi lagi.  Parapat ini terletak di tengah-tengah Danau Toba.  Setibanya di Ambarita kelihatan sepi sahaja dan tidak ramai pelancung.  Kami terus dibawa ke 'objek wisata' atau tapak warisan kaum batak dan diberi penerangan serta ditunjukkan rumah bolon (rumah raja batak) dan rumah-rumah yang lain.

In boat to Samosir island  Feri ke Samosir Island  Feri toba  on board to Samosir

on board to Samosir (2)  on board to Samosir (3)  To Ambarita  To Ambarita1

to Ambarita (2)  to Ambarita (3)  to Ambarita (4)  to Ambarita (5)

to Ambarita (6)

Rumah ini ada 3 tingkat iaitu bahagian atas sekali untuk simpanan hasil tanaman supaya asap akan menghindari hasil tanaman dari serangga perosak, bahagian tengah tempat tinggal keluarga dan bahagian bawah tempat B2 (babi).  Di sini B1 ialah anjing, dimana didapati papan tanda B1 dan B2 panggang.  Orang batak suka makan babi dan anjing panggang.  Babi yang diternak dibawah rumah ini akan membersihkan najis-najis yang dibuang dari ahli keluarga.  Kaum batak yang tinggal di sini dari keturunan Siallagan.

Siallagan Ambarita  Siallagan Ambarita (2)  Siallagan Ambarita (3)  Siallagan execution venue

Bumbung rumah batak ini jika diperhatikan betul-betul selain berbentuk minangkabau bucu belakangnya adalah lebih tinggi daripada bucu bahagian depan.  Aku sebenarnya tidak perasan kalau tidak dinyatakan oleh Pak Adi.  Ini bermaksud mereka mahukan keturunan mereka biarlah lebih baik kehidupannya dari mereka.  Diberitahukan juga bahawa asal-usul mereka ini dari satu kaum yang mendiami Indocina yang asalnya dari kaum bernama 'Bataha'.  Pada masa itu raja Monggol merasakan mereka ini memberikan ancaman lalu diburu dan mereka melarikan diri dengan menaiki perahu besar yang didayung beramai-ramai.  Sebab itulah rumah mereka berbentuk seakan-akan perahu dibahagian depannya.

Kaum batak amat terkenal dengan kehebatan ilmu mistik.  Di sebelah rumah bolon itu terdapat satu rumah yang berukiran yang dikenali sebagai rumah untuk menempatkan orang-orang sakit dan anak-anak gadis mereka.  Rumah ini berfungsi sebagai pendinding dari ilmu mistik yang biasanya dihantarkan diwaktu malam oleh pengamalnya.  Tangganya akan dinaikkan keatas dan pintu rumah ini dikunci dari luar untuk mengelakkan anak-anak gadis keluar diwaktu malam yang membolehkan mereka hamil.

Kemudiannya kami dibawa ke tempat pelaksanaan hukuman memenggal kepala pesalah.  Satu tempat yang terdapat batu-batu yang dijadikan platform-platform.  Pesalah akan ditanya hari lahir, waktu dan tahun dan akan dilihat didalam buku mereka untuk mencari tarikh yang sesuai untuk hukuman dijalankan.  Mengikut kepercayaan mereka setiap orang ada satu hari dalam satu bulan yang merupakan hari kelemahan seseorang.  Pada hari itulah pemenggalan kepala akan dilaksanakan.  Pesalah akan dipasung dibawah rumah bolon bersebelahan dengan kandang babi sementara menunggu hari hukuman.  Pada hari hukuman akan dijalankan semua penduduk kampung akan dipanggil dan segala aktiviti hendaklah dihentikan pada hari tersebut.  Semuanya terpaksa hadir.

Pesalah ditutup matanya untuk mengelakkan orang merasa kasihan apabila melihat mukanya dan ditelungkupkan di atas batu.  Dengan menggunakan pisau pendek yang sangat tajam mata pisau digariskan dibelakang pesalah tadi.  Jika luka menunjukkan pesalah itu sudah tidak kebal.  Untuk memastikan lagi perahan limau akan dititiskan di belakang pesalah yang telah luka tadi.  Bayangkanlah bagaimana siksanya jika luka kita dititiskan dengan limau.  Setelah itu pesalah itu dipindahkan ke tempat pemenggalan dengan keadaan menjongkok dengan dada beralaskan batu.  Pemenggal telah bersedia dengan parang yang tajam dan kepala dipenggal.  Darah akan diminum oleh sesiapa yang mahu.  Mereka percaya dengan meminum darah ini ilmu mistik orang tadi akan berpindah kepada mereka.  Daging pesalah akan dilapah dan dicampurkan dengan daging babi dan lain-lain lalu dimasak dan dimakan beramai-ramai.  Kepala pesalah akan dipacakkan di pintu masuk kampung sebagai amaran dan peringatan selama seminggu.  Setelah itu akan dicampakkan ke dalam Danau Toba ini.

Selepas selesai penerangan kami memasukkan derma mengikut keikhlasan masing-masing.  Derma ini digunakan sebagai penyelenggaraan tempat ini kerana tempat ini diselenggarakan oleh keluarga Siallagan sendiri dan bukan oleh kerajaan Indonesia.  Kami terus melalui gerai menjual souvenier tetapi tidak berani membeli walaupun dirayu oleh mereka.  Sampai ke dalam bot masih lagi diikuti oleh dua orang batak memaksa kami membeli barangan mereka.

Samosir Island  Tomok, Samosir island Tomok jetty  Tomok jetty (2)

Tomok jetty (3)  Sidabutar, Tomok

Kami berangkat ke satu lagi kampung batak di Pulau Samosir ini yang dikenali dengan Kg. Tomok.  Tomok bermaksud gemuk.  Kampung Tomok berbeza sekali dengan Ambarita.  Di sini ramai orang dan meriah.  Kami terus mendaki laluan perniagaan mereka sehingga sampai ke perkuburan raja batak disini yang terkenal iaitu Sidabutar.  Rahsia kekuatan Sidabutar ini terletak pada rambutnya dengan penerangan Pak Adi berdasarkan kepada ukiran kerandanya.  Dibawah ukiran kepala Sidabutar ini terdapat ukiran seorang lelaki yang bogel memakai songkok.  Itulah ukiran seorang panglima dari Acheh yang terdengar akan kehebatan raja Sidabutar ini yang mendorong beliau datang ke Tomok untuk belajar.  Dia diterima oleh raja Sidabutar langsung mereka bertukar-tukar ilmu sehingga dilantik menjadi orang kepercayaan Sidabutar.  Dia bukan sahaja mempelajari selok-belok kehidupan orang batak malah mempelajari apakah pantang utama orang batak ini dan disimpan didalam dirinya kerana dia percaya suatu hari nanti ini akan menjadi amat berguna.  Ternyata apa yang diketahuinya tidak sia-sia.  Saatnya tiba bila pada suatu masa akibat cemburu kaum batak lain keatas Sidabutar mereka bergabung mahu menyerang kg. Tomok ini.  Ini diketahui oleh Sidabutar tetapi beliau risau kerana ramainya pihak musuh.  Akan panglima ini beliau memanggil seluruh tenteranya memberitahu bahawa mereka akan diserang tetapi mengarahkan tenteranya supaya berkumpul menunggu musuh datang tetapi tidak dibenarkan membawa senjata dan hanya memakai kain sarung sahaja.  Mereka merasa pelik tetapi telah diarahkan oleh panglima ini mereka menurut sahaja dengan patuh.  Bila sampai saatnya panglima ini mengarahkan tentera-tenteranya menyingkap kain semua dan apabila terpandang sahaja alat sulit pihak Sidabutar mereka semua bertempiaran lari balik dan tidak datang lagi.  Rupa-rupanya inilah pantang besar orang batak pada masa itu kerana mereka percaya jika melihat alat sulit sejenis mereka ia akan mendatangkan sial dibelakang hari!  Maka selamatlah kampung Tomok.  Itulah kecerdikan mengalahkan kekuatan pihak musuh.

Cicak adalah lambang orang batak yang bermaksud walaupun dimanapun mereka berada atau merantau mereka haruslah berupaya menyesuaikan diri untuk terus hidup.  Di pintu masuk kubur itu terdapat ukiran 'woman breast' yang melambangkan kesuburan wanita batak.  Mam sempat membeli baju Balqis di sini dan terus balik ke bot.  Selepas bergambar kenang-kenangan di jeti Kg. Tomok kami terus bertolak balik ke Parapat.  Udara sejuk berkabus  menyelubungi beberapa tempat di sekitar permukaan Danau Toba.  Dua orang budak batak tiba-tiba keluar menyanyi lagu bahasa mereka dan kami menderma kepada mereka.  Aku lihat di bot tidak berapa jauh dari kami juga ada budak-budak batak menyanyi ketika perjalanan balik ke Parapat.

Kami terus check-in di Danau Toba International Hotel Parapat.  Jam 1900 kami naik ke atas untuk dinner.  Ianya kurang menyelerakan.  Bateri hp telah berkurangan tetapi charger yang dibawa tidak boleh digunakan jika tiada adapter kerana plug di Indonesia ini cuma dua pin sahaja dan aku terpaksa mendapatkan bantuan petugas untuk membelikan dengan harga Rp 30,000 sebuah.  Selepas dinner adapter telah ada untuk diambil.  Ada banyak nyamuk di bilik.  Aku memanggil untuk membuat semburan tetapi lambat sangat dan bila petugas datang sudah lewat malam.  Kami sudah nak melelapkan mata jadi aku menolak untuk dia membuat semburan.

18/8/2008

Jam 0800 pagi selepas sarapan dan bergambar dari dewan makan yang mempunyai panorama menarik Danau Toba kami memulakan perjalanan hari ke tiga ke Berastagi.  Laluan yang dilalui amat sepi sekali dikelilingi hutan di kiri dan kanan.  Mengikut Pak Adi inilah laluan yang sering dilalui oleh pelancong untuk ke

To breakfast  To breakfast (2)  To breakfast (3)  To breakfast (4)

Danau Toba Cottage after bfast  Danau Toba Cottage after bfast (2)  Danau Toba Cottage after bfast (3)  Danau Toba Cottage after bfast (4)

Izzat at Danau Toba Cottage Parapat  Lake Toba view  Lake Toba view (2)  Lake Toba view (3)

Lake Toba view (4)  Lake Toba view (5)  Lake Toba view (6)  Lake Toba view (7)

Lake Toba view (8)  Lake Toba view (9)  Lake Toba view (10)

Berastagi.  Di kiri kami terbentang luas Danau toba dengan pemandangan yang sayup ke bawah iaitu pinggiran Danau Toba yang kadang-kala diselangi oleh perkampungan kaum batak.  Terdapat kebun kopi dan cengkih di laluan ini disamping pokok pain yang lurus meninggi sehingga ke puncak bukit di sebelah kanan kami.  Nun disebelah kiri kami menghala ke Pulau Samosir kelihatan beberapa pulau kecil.  Salah satu pulau disitu terdapat sebuah pulau yang menurut Pak Adi dikenali sebagai 'honeymoon island' yang terkenal dikalangan pelancong barat.  Pulau ini menurutnya mempunyai keunikan iaitu dari segi mempunyai pantai yang landai dan pasir yang memutih.  Disini juga terdapat bar yang menjual citarasa barat dan terdapat show tarian tradisional batak.  Tidak tahu pula bagaimana bentuk tarian tradisional batak ini kerana Pak Adi pun tidak menceritakan kepada kami.

Perjalanan kami terus mendaki diikuti jalan yang sempit tetapi lengang.  Semakin mendaki semakin sejuk dan nyaman udaranya.  Akhirnya kami sampai ke destinasi seterusnya iaitu Simarjarunjung. 

Simarjarunjung (2)  Simarjarunjung (3)  Simarjarunjung (4) Simarjarunjung (5)

Simarjarunjung (6)  Bandrek dan singkong  Nikmati bandrek  Teh halia (bandrek) ingredient

Teh halia Simarjarunjung  End of Samosir Island from Simarjarunjung  Simarjarunjung 

Simarjarunjung merupakan lokasi penghujung untuk Pulau Samosir.  Dari lokasi ini boleh dilihat jelas nun di bawah sana di kejauhan hujung Pulau Samosir.  Ada ketikanya kabus tebal menyelubungi kawasan ini tetapi jika bernasib baik seperti kami pada hari itu dapat melihat jelas panorama yang indah.  Di sini terkenal dengan teh halia yang mana jika diminum boleh memanaskan badan.  Selain dari itu boleh membuang angin di dalam badan kita dan ada beberapa khasiat lain lagi kata Pak Adi.  Tehnya memang pedas dan jika hendak mengurangkan kepadasan boleh dicampur dengan susu cair sehingga ikut rasa tuan punya badan sendiri.  Biasanya teh halia yang dipanggil 'bandrek' ini dimakan bersama dengan pisang goreng tetapi pada hari kedatangan kami pisang goreng tiada dan digantikan dengan ubi atau 'singkong' panggilan disini.  Kini tahulah aku rupa-rupanya perkataan 'singkong' yang terdapat dalam lagu-lagu dari seberang ini bermaksud ubi.  Kami memesan 5 cangkir teh halia ini cuma aku dan Mam sahaja yang dapat menghabiskannya.  Anak-anak tidak berdaya menghabiskannya.  Pedas kata mereka walaupun telah ditambahkan dengan susu cair dengan banyak!  Singkong dipesan lagi kerana sedap sangat rasanya, mungkin lapar agaknya maklumlah cuaca sejuk begitu.  Aku memesan sekotak bandrek ini untuk diminum kelak di rumah.  Semuanya sekitar Rp 150,000 termasuk minum dan singkong tadi.

Dari sini kami bertolak ke air terjun Sipiso-piso.  Perjalanan kini mula menurun.  Ini adalah perjalanan terakhir yang kami masih boleh melihat Danau Toba kerana tempat yang dituju nanti adalah penghujung Danau Toba.  Pak Adi berseloroh supaya kami tidak melepaskan angin di dalam bas kerana biasanya setelah minum bandrek angin akan dikeluarkan.  Kami disarankan supaya menahan dahulu dan apabila sudah cukup ramai barulah minta bas diberhentikan keluar dan melepaskan angin beramai-ramai.  Ini kerana beliau khuatir jika sekejap-kejap minta berhenti kami akan lambat sampai ke Berastagi nanti.  Jalan disini amat teruk sekali sehinggakan Pak Adi mengatakan inilah satu-satu tempatnya di dunia yang menawarkan perkhidmatan massage in the bus didalam pakej percutian.  Kiri-kanan jalan terdapat banyak papan-tanda menunjukkan terdapat B1 dan B2 panggang.  Orang batak gemar sekali makan anjing dan babi panggang.

Kami sampai di Air terjun Sipiso-piso lebih kurang jam 1200 tengahari.  Apabila turun dari bas sudah ramai pengunjung disitu.  Maka nampaklah air terjun yang tinggi itu.  Tempat jatuhnya air tersebut sayup dan kecil sekali dari tempat pemerhatian kami.  Aku menjangkakan bahawa air tersebut mengalir ke Danau Toba.

Sipiso piso waterfall  Sipiso piso waterfall (2)  Sipiso piso waterfall (3)  At Sipiso piso

End of Lake Toba from Sipiso piso  Northend of Lake Toba  Northend of Lake Toba (2)  Northend of Lake Toba (3)

Northend of Lake Toba (4)  Sipiso piso  Sipiso piso (2)  Sipiso piso (3)

Sipiso piso shopping  At Sipiso piso (2)  Kain Ulos  Kain Ulos (2)

Balqis  Kg Tonggeng view from Sipiso piso  

Mam sempat membeli beberapa helai baju untuk anak-anak dan kain ulos berwarna hijau bercorak hitam.  Kain ulos amat terkenal dikalangan kaum batak.  Kain ulos digunakan apabila mereka menghadiri sesuatu temasya atau menghadiri kematian.  Harganya mahal kerana ia dibuat dengan tangan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu sehingga ke berbulan untuk disiapkan.  Sebab itulah harganya mahal dan juga bergantung kepada kualiti buatannya.

Kami meneruskan perjalanan ke Berastagi.  Jalan sudah beransur baik.  Kami sampai di Berastagi yang popular dengan hasil tanaman dari sekitarnya yang berudara sejuk ini.  Dipintu masuk ke Berastagi ini terdapat replika kobis besar.  Kami terus menuju ke pasar buahnya.  Terdapat berbagai jenis hasil tanaman dari sayur-sayuran sehinggalah ke buah-buahan.  Balqis tidur.  Kami meninggalkan Balqis didalam bas dengan adanya Ramadan dan Perdana menunggu.  Dalam kesibukan itu kami tidak nampak Afifah.  Keadaan menjadi kelam-kabut.  Ada yang mengatakan Afifah keluar bersama dengan group yang satu lagi.  Amirah hendah bergegas ke tandas,  Mam pula hendak mencari buah untuk dibeli.  Aku terpaksa menunggu Amirah.  Aku menalipon Pak Hasnal bertanyakan Afifah tetapi dia juga tidak tahu dimana.  Rupa-rupanya ramai ahli telah mengetahuinya.  Bila aku balik rupa-rupanya Afifah telah ada.  Rupa-rupanya dia tidor didalam bas dalam keadaan yang tersorok.  Aku lega.  Kami terus ke pasar buah semula memandangkan ahli yang lain tidak kembali lagi ke bas.  Sempat membeli buah salak, limau madu dan pisang kaki.  Sedap sekali pisang kaki ini yang pokok dan buahnya tidak seperti pokok pisang.  Kami dipesan supaya tidak membeli banyak kerana tidak dibenarkan membawa balik oleh penerbangan kelak.  Disini juga terkenal dengan jagung bakar tetapi kena berhati-hati membeli kerana yang menjualnya tidak pasti samada muslim atau bukan.

Arrive at Berastagi  Pasar buah Berastagi (2)  Pasar buah Berastagi  Tmn Mejuah-juah Berastagi

Kami dibawa ke Danau Toba International Cottage, Berastagi untuk lunch tengahari itu.  Sajian terdiri dari sayur-sayuran segar yang terdapat di kawasan ini.  Selepas itu kami bergambar disekitar hotel ini memandangkan tempat ini berada dikawasan tinggi dan dipenuhi dengan pokok-pokok bunga beranika warna.  Group Pak Hasnal akan bermalam di hotel ini manakala kami ditempatkan di Hotel Sibayak International tidak jauh dari mereka.

  Lunch di Berastagi  After lunch di Berastagi After lunch di Berastagi (2)  Berastagi view

Hotel Sibayak ini kami mendapat bilik attach.  Hotelnya ada class dengan kawasan sekelilingnya terjaga rapi.  Ada swimming pool juga dan boleh mengakses ke internet di kawasan berhampiran dengan swimming pool.  Petang itu tiada agenda dalam pakej lawatan kami tetapi Pak Adi menyatakan disini ada terdapat kolam air panas dimana ramai orang datang untuk mendapatkan khasiat untuk kulit.  Kami boleh kesana dengan membayar  Rp 60,000 seorang dan semua kami bersetuju.  Setelah sembahyang kami turun berkumpul di lobby hotel dan dibawa kesana.

Sibayak hot spring (7)  Berastagi Hot Spring  Sibayak hot spring (2)  Sibayak hot spring (3)

Sibayak hot spring (4)  Sibayak hot spring (6)  Sibayak hot spring (5)  Sibayak hot spring

Di sini juga ada sebuah gunung berapi iaitu Gunung Sibayak yang masih aktif dan mengeluarkan asap.  Aku pertama kali dapat melihat secara live sebuah gunung berapi kalau selama ini hanya melalui kaca tv sahaja.

Sibayak volcano  Sibayak volcano (2)  Sibayak volcano (3) 

Setelah kira-kira sejam kami disini, Mam masuk separas dada, Afifah mandi keseluruhan manakala Amirah, Farhan dan aku hanya mencelupkan kaki sahaja.  Balqis tidak mahu langsung kerana panas katanya, kami bertolak balik ke hotel.  Jam sudah menunjukkan jam 1800 petang.  Kami terus ke swimming pool Hotel Sibayak ini.  Kelihatan ada persembahan nyanyian di pentas berhampiran swimming pool ini.  Aku mengakses internet dan sempat ber 'messenger' dengan office di Pendang manakala anak-anak mandi di pool.  Kami dinner di Hotel Sibayak ini jam 1900 dengan dihadiri oleh Pak Adi mengaturkannya dan tiada aktiviti sebelah malamnya hanyak berehat sahaja. 

Sibayak Hotel Berastagi  Sibayak Hotel Berastagi (2)  Hotel Sibayak  Hotel Sibayak1

Hotel Sibayak (2)  Hotel Sibayak (3)  Hotel Sibayak (4)  Hotel Sibayak (5)

Hotel Sibayak (6)  Hotel Sibayak (7)  Hotel Sibayak (8)  Hotel Sibayak (9)

Hotel Sibayak (10)  Hotel Sibayak (11)  Sibayak Hotel room  Sibayak pool

terbalik pakai

19/08/2008, Selasa

Sarapan di Hotel Sibayak.  Balqis mengalami cirit-birit mungkin kerana terlalu banyak makan buah limau dan salak kelmarin.  Aku terpaksa menghiburkannya dan setelah makan serba ringkas kami berangkat untuk balik ke Medan.  Mengikut Pak Adi perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 2 jam sahaja.  Sebab itulah ramai orang dari Medan datang ke Berastagi bila hari minggu.  Dalam perjalanan balik ini Pak Adi bercerita tentang sebuah bukit yang bernama 'bukit Alhamdulillah' yang menurutnya ada disekitar Berastagi ini.  Kami sama-sama tergelak mendengarnya.  Semakin menyusur turun terdapat sebuah kilang air mineral di sebelah kiri kami yang mendominasi pasaran di Indonesia iaitu 'Aqua'.  Dimana-mana sahaja terdapat jenama air mineral ini.  Juga ditunjukkan sebuah bukit dimana malapetaka kapalterbang Garuda terhempas akibat kabus tebal semasa hendak mendarat di Polonia Airport beberapa tahun dahulu yang mengorbankan kesemuanya.

Balqis kadang-kadang nampak seperti berkurangan sakit perutnya,  untuk supaya tidak melarat aku meminta Pak Adi membelikan ubat sakit perutnya iaitu minyak kayu putih dan sejenis ubat sapu berbau wangi.  Dalam perjalanan selepas itu Balqis muntah pula.  Setelah membersihkan perjalanan disambung kembali.  Kami telah mula sampai dipinggiran Medan sekitar 1100 pagi.  Keadaan Medan kembali sibuk kerana cuti hari kemerdekaan telah habis dan mereka telah kembali bekerja.  Sekarang telah sampai masa untuk membeli-belah.

Destinasi pertama ialah disebuah kedai yang dimiliki oleh seorang Pakistan.  Mengikut ranking yang diberitahu oleh Pak Adi di sini barangnya berkualiti dan sudah tentu harganya mahal sedikit.  Cuaca begitu panas sekali tambahan pula air-cond bas telah rosak.  Mengikut kata Mam memang harganya mahal dan tiada apa yang dibeli kerana dia telah mempunyai budget dan target untuk ini.

Entrance shopping pertama  Gambar dari tempat shopping pertama  Di Medan  Tempat shopping pertama

Kami pergi ke kedai yang kedua.  Juga tiada barang yang dibeli.  Sementara itu fenomena biasa yang telah diberitahu oleh Pak Adi sejak dari awal-awal lagi mula ketara disini iaitu penjual souvenir berkerumun menyuruh kami membeli barang-barang seperti key chain, pen bertulisan Lake Toba, baju-baju bercap Medan atau Lake Toba, talipinggang, purse batik, ayat al-quran bertulis diatas kulit binatang dll.  Aku tetap menolak.

Kedai yang ke tiga kami kunjungi setelah Mam mengajukan kepada Pak Adi supaya membawa kami ke Pasar Ikan iaitu tempat dimana barangan lebih murah dijual.  Kami sampai dan Mam terus membuat urusan tawar-menawar terhadap kain telekung.  Aku lihat Mam mula membeli disini.  Ahli yang lain juga nampaknya membeli sama.

Seterusnya kami dibawa untuk lunch disebuah restoran.  Makanannya boleh dikatakan sedap.  Kami makan sepuasnya kerana kebetulan memang sedang lapar.

Lunch hari ke 4  Sudah kenyang  Tunggu minuman rasa-rasa  Kekenyangan Horas

Pada mulanya selepas makan kami dijangka menunaikan sembahyang di restoran ini tetapi disebabkan penuh suraunya, kami dibawa ke Mesjid Agung untuk menunaikan solat.  Selepas solat kami dibawa melawat ke Istana Maimoen.  Istana ini kepunyaan Sultan Melayu Deli yang besar kerajaannya suatu masa dahulu.  Kini istana ini diselenggarakan oleh kerabat diraja ini sahaja.  Walaupun ada permintaan dari kerajaan untuk menyelenggara tetapi ditolak kerana mereka bimbang mereka tiada hak lagi kelak.  Jadi mereka amat mengharapkan pengunjung menderma.  Kami diberi penerangan serba ringkas tentang istana ini dan katanya waris takhta sekarang masih lagi berumur 10 tahun dan masih bersekolah.  Istana ini masih digunakan untuk istiadat dikalangan kerabat sahaja.

Luar Istana Maimun  Luar Istana Maimun2  Pintu masuk ke singgahsana  Singgahsana Istana Maimun

Verandah Istana Maimun  Penerangan di Istana Maimun  Menandatangani buku pelawat

Aku sempat menandatangani buku pelawat sebelum mengakhiri lawatan di Istana Maimun ini.  Oleh kerana masa masih ada kami dibawa pula ke Medan Mall jika ada lagi yang hendak membeli-belah. 

Di Medan Mall  Lepas shopping di Medan Mall

Medan Mall ini samalah seperti supermarket di Malaysia.  Duit sudah berkurangan jadi hanya sedikit sahaja yang dibeli Mam iaitu tudung sahaja.  Kami makan KFC disini sementara menunggu Mam membeli.  

Jam 1630 petang kami menghantar group Pak Hasnal ke airport untuk mereka berlepas pulang ke KL.  Kami diberitahu Pak Hasnal terpaksa membeli tiket baru kerana beliau tersilap melihat tarikh berlepas pulang itinerary nya, iaitu esok.

Kami dibawa untuk dinner di Restoran Simpang Tiga.  Sekali lagi ayam goreng yang digemari disajikan disini.  Selepas makan kami dihantar ke hotel Semarak untuk menginap pada malam terakhir di Medan ini.  Esok pagi kami tiada jadual kemana-mana hanya berehat sahaja sementara menunggu check-out.  Hotel Semarak ini tidak menghidangkan minuman keras.  Kami ada mempunyai baju anak-anak yang masih basah dan ini tentu memberatkan beg.  Baju-baju tersebut dihantar ke laundry dan akan diambil esok sebelum check-out.

Hotel Semarak

20/08/2008, Rabu

Selepas sarapan pagi kami hanya berehat di bilik.  Aku turun ke lobby untuk mengakses ke internet malangnya setelah dicuba beberapa kali gagal.  Sempat melelapkan mata dan jam 1200 tengahari kami bersiap-siap untuk check-out.  Selepas membayar Rp 66,300 bayaran laundry menggunakan credit card kerana tidak cukup duit, kami naik ke bas.  Lunch di restoran yang mula-mula kami sampai tempohari dan hidangannya adalah hampir sama.  Selepas sembahyang kami membeli souvenir seperti baju dan key chain.  Ini dikira menghabiskan duit Rupiah setelah diasingkan untuk airport tax sebanyak Rp 450,000 untuk kami berenam.  Aku terpaksa menukarkan RM 50 dengan Pak Adi pada kadar Rp 2,600 = RM 1.00 bagi mencukupkan duit Mam untuk membeli souvenir.

Restoran Simpang Tiga Pada mulanya selepas lunch ini, kami dijangka membeli-belah kali terakhir di mana-mana yang sesuai hanya untuk membeli souvenir sahaja tetapi kerana di perkarangan restoran ini sahaja sudah dibeli maka kami memberitahu Pak Adi untuk terus ke airport sahaja.  Pak Adi menyatakan bahawa Polonia Airport ini bukan seperti Penang Airport yang selesa, maka dia mengajak kami ke Mesjid Agong sahaja untuk berehat-rehat.  Malangnya ada majlis marhaban di Mesjid Agong jadi kami terus dibawa ke Mesjid Raya.  Di sini kami berehat-rehat.  Pak Adi aku lihat melelapkan mata di dalam mesjid sementara aku melayani anak-anak sambil mengambil gambar sekitar.  Mesjid ini adalah lebih awal didirikan dari Mesjid Agung kerana mesjid ini kepunyaan kesultanan Deli.  Setelah sembahyang asar kami berkumpul semula di bas.  Dalam perjalanan Pak Adi memberikan sepatah dua kata seperti biasa bila mahu berpisah.  Aku memberikan laluan kepada Mam memberikan ucapan perpisahan kami dan kami sangat berpuas-hati dengan layanan yang diberikan.  Aku menghulurkan lebih kurang RM 170.00 sebagai tip untuk mereka bertiga.  Jam 1630 kami telah berada di Polonia Airport Medan.

Mesjid Raya Al Mahsun  Masjid Raya Medan  Masjid Raya Medan2  Luar Mesjid Raya

Balqis di Mesjid Raya  Lepas solat sunat  Hotel Madani Medan  Polonia Airport

Segalanya telah diatur.  Ada seorang telah menunggu dan diperkenalkan kepada kami bagi menguruskan segala urusan berkaitan airport ini.  Dialah yang menguruskan segala urusan.  Penerbangan delay lagi sehingga jam 2000 malam baru berangkat ke Penang.  RM 88 jumlah charge parking di Penang Airport.  Sampai dirumah jam 2330 malam.

Dalam flight  Dalam flight2